Saturday, December 1, 2012

Dosa Yang Lebih Besar Dari Berzina

Bismillah wal Hamdulillah.. ingin saya kongsikan satu kisah.

Pada suatu senja yang sunyi terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menandakan bahawa dia berada dalam dukacita yang mencengkam. Tudungnya menutup rapat hampir seluruh wajah dan perhiasannya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan raut mukanya yang ayu tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang telah merobek hidupnya.

Dia melangkah lemah dan terasa kaki begitu berat apabila mendekati kediaman rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam, "Silakan masuk."

Perempuan itu berjalan masuk sambil kepalanya terus menunduk. Air matanya berderai tatkala dia berkata, "Wahai Nabi ALLAH. Tolonglah saya. Doakan saya agar TUHAN berkenan mengampuni dosa keji saya."

"Apakah dosa kamu wahai wanita ayu?" tanya Nabi Musa a.s dengan rasa terkejut.

"Saya takut mengatakannya." jawab wanita itu. "Katakanlah jangan ragu-ragu." desak Nabi Musa.

Maka perempuan itu pun dengan ketakutan bercerita, "Saya, telah berzina."


Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, "Daripada itu saya pun lantas hamil. Setelah anak itu lahir, langsung saya cekik lehernya sampai mati," ucap wanita itu seraya menangis sejadi-jadinya. 

Mata Nabi Musa a.s pun berapi-api. Dengan muka berang dia mengherdik, "Perempuan celaka, pergi kamu dari sini! Agar seksa ALLAH tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!" teriak Nabi Musa sambil memalingkan muka kerana jijik.

Perempuan berwajah ayu yang hancur luluh hatinya segera bangkit dan melangkah longlai. Dia menangis tersedu-sedan dan keluar dari rumah Nabi Musa. Ratap tangisnya amat memilukan. Dia tidak tahu harus ke mana lagi hendak mengadu. Bahkan dia tidak tahu ke manakah kakinya mahu melangkah. Bila seorang Nabi saja sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosa dilakukannya, betapa jahat perbuatannya.

Sepeninggalannya, malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa. Jibril lalu bertanya, "Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?"

Nabi Musa terperanjat. "Dosa apakah yang lebih besar daripada kekejian wanita penzina dan pembunuh itu?"

Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril, "Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang hina itu?"

"Ada!" jawab Jibril dengan tegas.

"Dosa apakah itu?" tanya Musa yang kian keliru.


"Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar daripada 100 kali berzina."

Mendengar penjelasan ini nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya.    Dia mengangkat tangan dengan khusyuk untuk memohonkan keampunan kepada ALLAH untuk perempuan tersebut.

Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa penyesalan adalah sama berpendapat solat itu tidak wajib dan tidak perlu ke atas dirinya. Bererti dia menganggap remeh akan perintah ALLAH, bahkan seolah-olah menganggap TUHAN tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-NYA. Sedangkan orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh masih mempunyai iman di dada dan yakin bahawa ALLAH itu ada. Itulah sebabnya TUHAN pasti mahu menerima kedatangannya.

Wallahu Taala 'a'lam. Semoga ALLAH redha saya dan kamu :)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...